Akhlak berasal dari
perkataan Al Khuluq. Al-Khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Menurut Iman
Al Ghazali, akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang
telah sebati dan daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa
memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya
sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari
manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan
sifat yang ada dalam jiwanya.
Tepatlah apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’
Ulumuddin, “Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya
(tandanya) pada anggota manusia, sehingga tidak ada suatu perbuatan pun
melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam hati manusia.”
Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat
dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama pokok dengan akarnya.
Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik
akhlaknya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya.
Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya. Allah
Subhanahuwata’ala berfirman:
“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan
seizin Allah, dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh
merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi
orang-orang yang bersyukur.” (Al- A’raf: 58)
Akhlaq yang mulia
adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya (yang bermaksud, antara lain:
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlaq
yang mulia”.
Hal ini ditegaskan lagi oleh ayat al-Qur’an dalam firman Allah:
“Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” (Al-Qalam: 4)
Juga dalam firman Allah swt. lagi:
Orang –orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka
bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat
yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali
segala urusan.(Al Hajj, 22 : 41)
Firman Allah swt.
lagi:
Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu
kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah,
hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta
yang dicintainya kepada kerabatnya, anak–anak yatim, orang-orang miskin, (yang
memerlukan pertolongngan) dan orang-orang yang meminta-minta, dan
(memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan
orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang
sabar dalam kesempitan, penderitaan, peperangan, mereka itulah orang-orang yang
benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah, 2: 177)
Akhlaq yang mulia
adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai
bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak. Sebuah athar menyatakan (antara
lain, bermaksud):
“Bukanlah iman itu hanya dengan cita – cita tetapi iman itu
ialah keyakinan yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan”
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam
pernah ditanya: Apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan
akhlaq (Husnul Khulq). Bila ditanya tentang kejahatan, baginda
menjawab: Akhlaq yang buruk (Su’ul khalq).
Diriwayatkan dari
Annawas bin Sam’an ra. berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah saw. Tentang
bakti dan dosa, maka jawab Nabi saw. “Bakti itu baik budi pekerti, dan dosa itu
ialah semua yang meragukan dalam hati dan tidak suka diketahui orang.” (HR.
Muslim)
Abu Darda berkata,
“Bersabda Nabi saw, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang
mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (HR. At
Tirmidzi)
Aisyah ra. Berkata,
“Saya telah mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin
yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang
yang terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)
Jabir ra. berkata,
“Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan
terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan
orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah
orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan
kepandaiannya.” (HR. At Tirmidzi).
Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan
kesediaan untuk sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang
ulama menjelaskan thariqah (jalan) untuk membina akhlak islami adalah dengan
kemahuan untuk melaksanakan latihan (tadribat) dan pendidikan (tarbiyah).
Setiap muslim memiliki kesempatan yang sama untuk menjadi baik atau buruk,
masalahnya adalah sejauh mana usaha kita untuk mendisiplinkan diri dengan
nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan muslim yang berakhlak ampuh.
Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering dilupakan. Malah kian rapuh
sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya
sinar Islam pada penghujung zaman. Gejala keruntuhan akhlak yang berlegar di
sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa
kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang
minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus Pencipta
Yang Maha Esa.
Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia
dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki
manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan
menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk
mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.
Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan
sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga
mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”(Ar-Ra’d: 11)
Di antara ciri-ciri akhlaq yang sewajarnya menghiasi diri
seseorang insan supaya ia menjadi seorang muslim yang benar adalah
akhlaq-akhlaq berikut:
1. Bersifat warak dari melakukan
perkara-perkara yang syubhat
Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara
yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara
halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadith Rasulullah yang
berbunyi:
“Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata:
Aku telah mendengar RasulullahSallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya
yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara
keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh
kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang
kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan
barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram,
seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan,
hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi
tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah
segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul
daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak,
rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan
Muslim)
Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara’ adalah
sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam
hadith baginda (antara lain, bermaksud):
“Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat
golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah
menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap
berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan”
2. Memelihara
penglihatan.
Seseorang muslim itu mestilah memelihara pandangan daripada
melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap
sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah
pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat
orang –orang mu’min supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi
faedah, firman Allah SWT:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah
mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu
adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang
mereka perbuat". (An-Nur:
30)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula bersabda (antara lain,
bermaksud):
“Pandangan itu ada satu panahan dari panahan iblis”
Baginda juga mengingatkan (antara lain, bermaksud):
“Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan
(kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan wajah kamu.”(Hadith Riwayat At
Tabrani)
3. Memelihara Lidah
Seseorang muslim itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan
kata-kata yng tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor,
percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba. Imam Nawawi
rahimahumullah mengatakan. “ketahuilah, seorang mukallaf itu sewajarnya menjaga
lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan
kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya, maka
mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang
diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian
telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.”
Sebenarnya banyak dari hadith-hadith Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas
empunya diri (antara lain):
“Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai
hasil tuaian (jelek) lidahnya.”( Hadith riwayat Al Tarmizi)
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:
“Bukanlah ia seorang mu’min (jika) jika ia suka
menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji.” (Hadith riwayat At Tarmizi)
Sabda baginda lagi:
“Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya,
sesiapa yang banyak kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang
banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.” (Diriwayatkan
oleh Baihaqi)
4. Bersifat Pemalu.
Seorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan.
Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan
kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan
orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika
bercakap, berasa cukup seta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat
seumpamanya. Diceritakan dari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa
baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang
berada di balik tabir.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang,
maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang
sebenar melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah menyingkirkan duri dari
jalan. Dan sifat malu ialah satu cabang dari Iman”
Berhubung dengan sifat
malu ini para ulama’ mengatakan: “Hakikat malu itu ialah sifat yang
menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya dari
mencuaikan hak orang lain.
5. Bersifat Lembut dan Sabar
Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di
dalam diri seseorang Muslim ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana
kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak
menyenangkan, malah jalan da’wah sememangnya penuh dengan kepayahan,
penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan.
Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal Islami sehingga
himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus
berpaling meninggalkan medan da’wah.
Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang
pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan
da’wah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran
dan tabi’atnya. Da’i akan menyampaikan da’wahnya kepada orang-orang jahil dan
orang-orang ‘alim, orang yang berfikiran terbuka dan yang emosional (sensitif),
orang yang mudah bertolak ansur dan yang keras kepala, orang yang tenang dan
yang mudah tersinggung. Oleh yang demikian ia wajib menyampaikan da’wah kepada
semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia
mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini
sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah
lembut.
Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-quran dan hadith Nabi
menganjur dan mengarahkan agar seorang da’i itu berakhlak dengan sifat-sifat
sabar, lemah lembut dan berhati-hati.
Arahan-arahan Dari Al-Qur’an:
Di antara arahan-arahan al-qur’an ialah:
Firman-firman Allah:
“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan,
sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”. (Al-Syura, 42: 43)
“Maafkanlah mereka dengan cara yang baik” (Al-Hijr, 15: 85)
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan
pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar, 39: 10)
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu
tidak ingin Allah mengampunimu?”(An-Nur, 24 : 22)
“Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka,
mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.” (Al-Furqan 25 :63)
Arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi.
Di antara arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi ialah:
Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang
bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai
darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat
lemah-lembutnya.”
“Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya,
Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada
beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda
bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang
menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya
kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya
terhadap kamu.”
“Apabila Allah Subhanahuwata’ala telah
menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru;
“Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu
bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua
bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat.
Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka menjawab: “Adalah
kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada
kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke
dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal”
Contoh-contoh praktikal dari Nabi:
1. Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas
hati dengan pembahagian rampasan perang) berkata: “Demi Allah,
sesungguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat
keredhaan Allah”. Setelah diceritakan kepada Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam baginda bersabda:
“Semoga Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari
ini tetapi ia sabar”.
2. Anas Radiyallahu anh telah berkata:
“Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah
memasuki sebuah masjid. Ia memakai kain selendang buatan najran yang kasar
buatannya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi datang dari arah belakang baginda lalu
menarik kain tersebut dari belakang sehingga meninggalkan bekas di leher
baginda. Badwi tersebut berkata : “Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami
harta Allah yang ada di sisimu, lalu Rasulullah berpaling kepadanya dengan
wajah yang tersenyum dan baginda bersabda: “Perintahkan kepada yang berkenaan
supaya berikan kepadanya.”
3. Abu Hurairah
menceritakan:
“Bahawa seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam: “Wahai Muhammad bawalah gandum ke atas dua ekor
untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan harta engkau dan bukan juga
harta bapa engkau”. Kemudian ia menarik kain selendang Rasulullah sehingga
meninggalkan kesan kemerahan di leher baginda. Lalu Rasulullah memerintahkan
supaya membawa kepada Badwi tersebut seguni gandum dan tamar”.
4. Al-Tabrani
menceritakan:
“Bahawa seorang wanita berkata lucah (yakni ucapan yang
menimbulkan berahi) kepada sekelompok lelaki, kemudian ia lalu dihadapan Nabi
Sallallahu’alaihiwasallam ketika Nabi sedang memakan roti berkuah di atas
tanah. Kemudian wanita itu berkata: “Lihatlah kamu kepadanya, ia duduk seperti
seorang hamba abdi dan ia makan seperti seorang hamba abdi”.
5. Abu Hurairah
radiallahu anh menceritakan:
“Bahawa seorang leleki berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya
saya mempunyai kaum kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua
memutuskan hubungan dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka
berbuat jahat terhadap saya, saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka
bersikap keras terhadap saya.” Lalu baginda bersabda : “Jika sekiranya engkau
berbuat seperti yang engkau katakan seolah-olah engkau menjemukan mereka dan
engkau tetap akan mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat
demikian”.
6. Pada suatu ketika datang seorang yahudi menuntut hutang
dengan Rasulullah dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd.Manaf adalah
bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar Ibn
Al-Khattab ada bersama dan ia hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu
Rasulullah berkata kepadanya: “Wahai Umar, sepatutnya engkau
menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga
membayar dengan baik”.
7. Diriwyatkan bahawa Nabi Isa Alaihissalam bersama para
pengikut setianya (Hawariyyun) dari satu kampung ke satu kampung yang lain
kerana berda’wah. Lalu di dalam da’wahnya itu ia bercakap kepada manusia dengan
cara yang baik, sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk,
kutukan dan maki-hamun. Para pengikut setia itu merasa hairan terhadap tindakan
itu lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata: “Setiap
orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada padanya”.
Semua peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang
menguatkan lagi tuntutan ke atas para penda’wah supaya bersifat lemah-lembut,
sabar dan belapang dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu
datangnya dari kaum kerabat, sahabat-handai, orang-orang yang dikasihi,
teman-teman rapat dan saudara mara kerana sifat-sifat lemah-lembut, sabar dan
berlapang dada itu akan menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan
menghapuskan perpecahan serta perbezaan. Cukuplah oleh seorang penda’wah itu
mendapat apa yang diredhai oleh Allah.
6. Bersifat Benar dan Jujur
Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta.
Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak
takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina
malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang
memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan
benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya.
Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang
itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya
syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan
terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan
membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat
dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang
dilaknat.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud,
antara lain):
“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan
sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga.Seseorang yang sentiasa bersifat
benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan
sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan
itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah
dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”. (Muttafaqun ‘alaihi)
7. Bersifat rendah diri
Seseorang Muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri
khususnya terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan
(dalam memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullah SAW
sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat
takbur (membangga diri). Baginda bersabda (antara lain, bermaksud):
“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya
terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.”(Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadith qudsi Allah berfirman :
“Kemuliaan itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah
selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan
menyeksanya”. (Hadith Qudsi
riwayat Muslim)
8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat
Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain.
Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman
Allah:
“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka,
sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu
mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat
sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya
yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah
kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang”. (Al-Hujurat, 49 : 12)
Allah berfirman lagi:
“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat
tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul
kebohongan dan dosa yang nyata.” (Al-Ahzab, 33 : 58)
Dan Rasulullah bersabda (antara lain, bermaksud):
“Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman
belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain
dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang
mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya
sekalipun ia berada di dalam rumahnya.” (Hadith riwayat Abu Daud)
9. Bersifat pemurah
Seorang muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban
dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat
menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan
wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan,
berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata
benda. Di dalam Al-Qur’an Al-Karim sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang
menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.
Diantaranya:
Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian
dari rezki yang kami berikan kepada mereka.” (Al-Anfal, 8: 3)
“Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan
Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu
membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja
harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya
dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak dianiayai”. (Al-Baqarah, 2 : Ayat 272)
Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan
mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (antara
lain, bermaksud):
“Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali
(hari-hari) didatangi oleh dua malaikat lalu seorang darinya berdo’a : “Ya
Allah, berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala
malaikat yang ke dua berdo’a : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada sihamba
yang bakhil ini”.
10. Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)
Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim
mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala
tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta
adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan,
dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan
diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan peranan besar yang telah
dilaksanakan oleh Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri
teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan
(kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al Ahzab : Ayat 21 )
A
Tidak ada komentar:
Posting Komentar